Thursday, March 26, 2009

Peluang jadi pembekal baja cacing


PERINTIS Agrotech Centre (Perintis), sebuah pusat pembangunan industri pertanian dan asas tani, kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menghasilkan produk-produk pertanian biotek berasaskan cacing.
Sehingga kini Perintis telah membuka dua kilang ternakan cacing yang menumpukan kepada pengeluaran baja vermikompos secara besar-besaran.
Di samping itu, sebuah lagi kilang yang terletak di Semenyih digunakan sepenuhnya untuk memproses produk-produk biotek yang berasaskan ekstrak dan baja cacing.
Di antara produk berasaskan cacing yang mendapat sambutan yang paling tinggi ialah Bio-Booster yang merupakan makanan utama yang digunakan dalam sistem ternakan keli ProAsli yang hanya memerlukan penjagaan seminggu sekali dan tanpa penggunaan pelet sehingga waktu tuaian.
Penyelidikan
Kini Perintis giat membangunkan penyelidikan untuk memberi tambah nilai kepada baja vermikompos tersebut.
Terdapat pelbagai lagi produk yang telah dihasilkan iaitu Bio-Vita, yang merupakan vitamin dan makanan tambahan untuk ternakan, Bio-Aqua yang digunakan untuk mengawal kualiti air dan mempercepatkan tumbesaran ternakan ikan dan pelbagai produk lain.
Bagi menampung pengeluaran produk-produk berasaskan cacing ini, seramai 200 pembekal baja vermikompos akan dilantik oleh Perintis.
Adalah dijangka lebih 30 tan baja akan dihasilkan dalam tempoh sebulan bulan.
Setakat ini hampir 15 tan per bulan baja telah digunakan bagi memproses produk-produk tersebut dan bermula bulan Jun ini , Perintis mensasarkan pengeluaran produk-produk tersebut sebanyak tiga kali ganda.
Bagi memastikan baja-baja yang dibekalkan kepada Perintis adalah dalam piawaian yang ditetapkan maka setiap pembekal akan dilatih oleh tenaga pakar dari Perintis sendiri.
Selain dari itu bagi memenuhi syarat sebagai pembekal, modal minimum dikenakan bagi memasuki kontrak jaminan belian balik vermikompos tersebut yang merangkumi modal untuk ternakan, makanan dan perubatan ternakan.
Menurut Pengurus Projek AgroHub, Norzana Rafie, Fasa I projek ternakan cacing telah berjaya dibentuk di sekitar Selangor dan kini projek ini telah memasuki fasa ke II untuk ke seluruh negara.
''Di bawah projek ternakan cacing ini, pembekal akan dilatih dan diberi tunjuk ajar secara percuma sebelum membuat ternakan sendiri,'' katanya.
Satu kaedah penternakan cara mudah dan jimat akan diperkenalkan di samping teknik penjagaan terkini dengan bantuan produk bioteknologi iaitu Bio-Ternak.
Sebanyak 5 kilogram induk cacing beserta makanan akan diberikan kepada pembekal dilantik untuk diternak dengan menggunakan kaedah ternakan yang telah ditetapkan oleh Perintis sebelum menjual semula baja vermikompos yang dihasilkan kepada pihak syarikat.
Tambah beliau lagi, penggunaan Bio-Ternak bukan sahaja dapat membantu menguraikan sumber makanan cacing dengan lebih cepat malah dapat memberikan selera makan yang tinggi kepada cacing.
Bukan setakat itu sahaja, cacing yang diternak menggunakan Bio-Ternak juga lebih sihat, cepat membesar dan berkualiti tinggi.
Baja yang terhasil juga terbukti lebih bernutrisi tinggi berbanding baja cacing yang dihasilkan menggunakan teknik biasa".
Keluaran
Mempelbagaikan penggunaan baja cacing untuk produk keluaran sendiri menjadi kunci utama kejayaan Perintis.
Dalam erti kata yang lain, Perintis tidak terlalu bergantung kepada pasaran terbuka sebaliknya lebih tertumpu kepada memasarkan produk-produk penggalak pertanian berasaskan cacing.
Kini satu rundingan telah pun dibuat dengan wakil-wakil dari Thailand dan Indonesia untuk memasarkan produk-produk tersebut ke negara-negara di rantau Asia.
Satu siri promosi telah dirangka dengan kerjasama jabatan perikanan dan jabatan pertanian bagi memperkenalkan produk-produk tersebut ke dunia luar.
Apa yang diharapkan adalah usaha sama yang terjalin di antara pihak Perintis ini dapat memberi menafaat kepada peserta-peserta yang baru menceburi industri ternakan cacing ini sekali gus menjadi jalan alternatif dalam menjana pendapatan sampingan sebelum menceburi industri ini secara komersial.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-6187 3796 atau 019-6634527 atau layari www.agrohub.net atau di pejabat urusan di Bussiness Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Bekas jurutera jadi tauke cendawan

KENIKMATAN yang diperoleh hasil berbudi dengan tanah sukar diluah dengan kata-kata. Apatah lagi seronok melihat hasil yang membanggakan dan mampu pula menggantikan pergantungan makan gaji selama 10 tahun.
Bagaimana pun kerjaya sebagai jurutera projek menyebabkan Mohd Asmawi Mohamed Noor, 33, sukar membuat keputusan sama ada meletakkan jawatan atau membabitkan diri sepenuhnya sebagai penanam cendawan di kampung halamannya, di Padang Salim, Peringat, Kota Bharu Kelantan.
''Seperti cinta yang baru berputik apabila aktiviti suka-suka membina dua rumah cendawan di kampung mula mengeluarkan hasil dan berpotensi untuk dimajukan, rasa cinta itu mula bercambah tetapi saya keliru membuat keputusan.
''Bagaimanapun lepas setahun, saya nekad terjun dalam bidang pertanian apabila tanaman cendawan di dua buah bangsal menunjukkan potensi memberangsangkan dan memberi pulangan berbaloi," ujar lulusan kejuruteraan di Institut Jerman-Malaysia (GMI), Kuala Lumpur ini.
Bersama adik iparnya Azuddin Zakaria, 33 , kini Asmawi bergelar usahawan apabila berjaya mengeluar dan memasarkan cendawan sebanyak 130 hingga 150 kilogram sehari.
Di samping itu, Asmawi turut menerokai bidang baru sebagai pembekal anak benih cendawan yang telah siap diisi dalam polibeg dengan harga RM1.20.
Sejak akhir tahun lalu pula, dia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri menganjurkan kursus penanaman cendawan kepada mana-mana pihak yang berminat selama tiga hari dengan yuran RM150 seorang.
''Dalam kursus tersebut, kami berkongsi pengalaman kepada pihak yang berminat menyertai bidang penanaman cendawan, mendedahkan teknik serta proses tanaman, membekalkan anak benih, membina rumah cendawan serta khidmat kewangan," katanya.
Akuinya, walaupun di peringkat awal, dia dan rakan kongsi kosong dengan ilmu dan kemahiran mengendalikan projek tanaman cendawan tetapi minat dan kesungguhan untuk menjayakannya terbit secara semulajadi.
''Azuddin yang menjadi rakan kongsi, saya galakkan menyertai kursus berkaitan manakala saya pula lebih dalam bidang pemasaran walaupun awalnya setiap minggu berulang alik dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampung sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2006," ujarnya.
Mendapat sokongan daripada Agro Bank dengan memberi modal pinjaman sebanyak RM250,000 sejak dua tahun lepas.
''Di bawah syarikat Nutri Agrotech Enterprise, buat masa ini terdapat enam rumah cendawan yang tapak asal merupakan tanah terbiar di kampung," katanya.
Bermula dengan dua rumah diperbuat dari bangsal kayu berdinding dan beratap nipah seluas 20 kaki lebar dan di tepi rumah ibunya, bermodal daripada poket sendiri, Mohd. Asmawi mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu dan bercadang menambah jenis black jelly pada masa hadapan.
''Dalam sebuah rumah cendawan seluas 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang yang dibina daripada rangka besi dan kanvas mampu memuatkan 15,000 polibeg yang disusun atas rak-rak secara bertingkat," katanya.
Menceritakan pengalaman mengusahakan cendawan, Asmawi berkata banyak perkara baru yang jauh menyimpang daripada kerjayanya selama ini dipelajari namun perbezaan itu menarik perhatiannya.
Lokasi operasi cendawannya kebetulan berhampiran dengan kilang memproses kayu turut memudahkan Mohd. Asmawi memperoleh habuk kayu getah malah telah membantu pihak pengurusan kilang melupuskan bahan buangan tersebut dalam bentuk kitar semula.
''Proses tanaman cendawan memerlukan penggunaan habuk kayu getah yang dicampur dedak padi, kapur dan air yang dimasukkan ke dalam beg media
''Diikuti dengan proses mematikan bakteria selama tujuh jam dengan cara mengukus dan disejukkan selama 12 jam
''Selepas itu setiap beg disuntik dengan benih dalam bilik bersih dan berhawa dingin sebelum mengalami proses pemeraman selama 55 hingga 60 hari dan disusun secara mengiring atas rak di dalam rumah," ujarnya.
Tambah Mohd. Asmawi, proses pemeraman memerlukan pemantauan kerana biji benih mudah dicuri tikus yang gemar memakannya dengan cara mengorek dari hujung beg.
''Selain itu, pengusaha juga berhadapan dengan penyakit kulat hijau atau green mould dan kulat berwarna oren atau neuro spora yang menyerang isi dalam kampit menyebabkan seluruh beg tersebut berubah warna.
''Beg yang dijangkiti mesti diasingkan kerana ia mudah berjangkit dan menyebabkan gagal mengeluarkan hasil," jelasnya.
Selepas dua bulan katanya, putik atau kudup cendawan yang dikenali sebagai mycelia akan memenuhi ruang atas kampit terjuntai keluar, selepas hari ke tiga dan ke empat hasil boleh dipungut.
''Setiap polibeg mengeluarkan 200 hingga 300 gram hasil dan bergantung kepada kesuburan benih yang akan dikutip mengikut permintaan dan keadaan kelopak cendawan itu sendiri.
''Hari ke tiga paling cantik sebelum bahagian tepi kelopak cendawan berombak dan pecah dengan cara mencabut keseluruhan daripada muncung beg. Hari ke empat cendawan pada peringkat maksimum dengan kelopak lebih segar, cantik dan apabila dimakan rangup dan manis," ujarnya.
Menurut Mohd. Asmawi, tanaman yang memerlukan kawalan suhu sinar matahari itu boleh dikutip hasilnya selama tujuh kali berturut-turut sebelum direhatkan selama 15 hari sebelum hujungnya ditutup semula untuk memberi peluang kepada kampit lain mengeluarkan hasil.
Mohd. Asmawi yang mempunyai pembekal tetap menjual secara borong RM5 sekilogram (harga pasaran RM8 hingga RM10 sekilogram) untuk pasaran pasar basah dan pasar tani berhampiran.
''Tahun ini, sebanyak empat rumah lagi akan ditambah untuk memenuhi permintaan yang cukup menggalakkan daripada pembekal dan orang ramai," katanya.