IPOH 2 Nov 2008 Utusan Malaysia. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menjalin kerjasama lebih erat dengan Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) bagi meningkatkan lagi pemasaran produk-produk pertanian tempatan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, antara produk pertanian tempatan yang diberi tumpuan pada masa ini ialah pasaran ikan keli dan tilapia serta buah-buahan tempatan.
''Buat masa ini, Tesco telah mula membeli ikan keli dan tilapia daripada pengusaha tempatan namun kita berpendapat jumlah itu boleh ditingkatkan jika ada usahasama lebih kukuh.
''Tesco kini berdepan dengan kekurangan bekalan buah-buahan tempatan seperti pisang, jadi kita akan bekerjasama supaya petani kita boleh menanam pisang yang dikehendaki oleh Tesco," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengedaran Tesco dan Terminal Makanan Negara (Teman) di Simpang Pulai dekat sini hari ini.
Mustapa berkata, Tesco dan FAMA juga bersetuju untuk mengadakan program bersama bagi memasarkan produk-produk industri asas tani tempatan.
Katanya, bagi tujuan tersebut, pihak FAMA akan mengumpulkan semua pengusaha terlibat supaya mereka dapat memasuki pasaran Tesco yang amat memberangsangkan.
''Tesco telah terbukti berjaya dalam usaha mengurangkan kos barang-barangan dengan membuat pembelian secara langsung selain mempunyai teknologi pembungkusan terkini yang menjimatkan.
''Jadi peluang ini patut digunakan oleh FAMA dan pengusaha industri asas tani untuk membina rangkaian pemasaran lebih baik dan menggalakkan pengeluar-pengeluar makanan lebih besar," katanya.
Sementara itu, mengenai projek pembinaan Teman yang bernilai RM110 juta, Mustapa berkata, ia mengikut jadual ditetapkan dan pihak jururunding dan kontraktor memberi jaminan untuk menyiapkan prasarana itu pada Jun depan.
Katanya, Sijil Layak Menduduki (CF) bagi bangunan itu pula dijadual diterima pada September dan ia akan mula beroperasi sepenuhnya sekitar bulan November.
''Projek Teman ini amat penting dan ia akan menggantikan Pasar Borong Kuala Pari yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sini bagi memastikan bekalan makanan di sekitar Perak sentiasa mencukupi.
''Buat masa ini sudah 330 pemborong memohon untuk beroperasi di sini dan kebanyakannya adalah daripada pasar borong lama," katanya.